Puasa melahirkan sifat -sifat terpuji

Allah SWT berfirman dalam al-Quran Surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud:

“Wahai orang-orang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertakwa”. Puasa adalah satu ibadah yang penting dalam Islam. Melaksanakan ibadah ini boleh menyuburkan kerohanian seseorang serta dapat mendidik hawa nafsu. Puasa mempunyai hikmah yang besar dan matlamatnya adalah menjadikan seseorang itu bertakwa.

Takwa adalah satu kalimah yang merangkumi semua sifat yang terpuji, dilakukan oleh setiap Muslim, sama ada zahir dan batin. Sifat takwa juga berfungsi sebagai penjaga dalam setiap tindak-tanduk seorang Muslim agar tidak melanggar perintah Allah SWT.

Melaksanakan ibadah puasa, dapat mengawal seseorang terjerumus maksiat dan kemungkaran kerana orang yang berpuasa sanggup mengawal tuntutan naluri yang berkehendakkan kepada makanan, minuman dan menahan diri dari melakukan perkara-perkara tidak berfaedah seperti membuang masa, berdusta, mengumpat, berbual kosong dan lain-lain lagi.

Oleh itu jiwa manusia akan meningkat ketinggian dari alam kehidupan keduniaan kepada alam kehidupan kerohanian.

Bagi mencapai matlamat tersebut, Rasulullah SAW menasihati umatnya dalam sebuah hadis bermaksud:
“Puasa itu perisai, apabila salah seorang daripada kamu sedang berpuasa, maka janganlah mengeluarkan kata-kata keji (kotor), jangan menimbulkan suasana tegang. Jika ada seseorang memakinya atau mahu membunuhnya maka katakanlah: sesungguhnya aku sedang berpuasa”.

Selain itu puasa juga boleh memupuk dan menyuburkan lagi sifat amanah dalam diri seseorang kerana orang yg berpuasa melatih diri untuk bersikap benar dan memegang amanah , tidak melakukan perkara-perkara yang membatalkan dan mengurangkan pahala puasa walaupun di tempat orang tak nampak, tapi tetap memelihara diri dari yang dilarang kerana yakin bahawa Allah Maha Tahu dan Maha Melihat apa yg dikerjakannya . Ini sebenarnya telah mendekatkan hubungannya dengan Allah, jadi dengan berpuasa dapat mendekatkan diri dengan Allah SWT dalam setiap pekerjaan dilaksanakan.

Amanah adalah salah satu sifat daripada sifat-sifat mulia. Ia sangat penting diamalkan setiap anggota masyarakat, tidak kira pemimpin mahupun rakyat, pemimpin organisasi mahupun orang yang dipimpin. Ada antara kita yang tidak begitu jelas dalam memahami pengertian amanah. Mereka beranggapan ia hanya terbatas kepada usaha menjaga harta orang lain yang diletakkan di bawah jagaannya.

Menurut pandangan Islam amanah ialah mengerjakan semua yang disuruh Allah dengan penuh keikhlasan dan ketaatan serta menjauhi setiap perkara ditegah, sama ada ketika beribadah kepada Allah mahupun bermuamalah dengan masyarakat.

Amanah paling utama diwajibkan ke atas setiap Muslim ialah untuk menunaikan ibadah yang ditaklifkan kepada manusia oleh syarak seperti solat fardu, berpuasa Ramadan, mengeluarkan zakat dan menunaikan haji. Sekiranya seseorang itu cuai dalam melaksanakan ibadah yang difardukan ke atasnya, maka individu berkenaan telah mengkhianati amanah dan tanggungjawab diperintahkan oleh Allah SWT.

Begitu juga dengan mata kita, ia adalah amanah Allah kepada hambanya yang dipinjamkan untuk kita manfaatkan kegunaannya dengan sebaik mungkin. Orang yang betul-betul amanah menjaga matanya pasti orang itu tidak akan salah gunakan mata untuk memandang perkara diharamkan.

Kesihatan adalah amanah, akal adalah amanah, kehormatan juga adalah amanah. Begitu jugalah dengan semua anggota badan kita yang lain, kita perlu menjaga dan memeliharanya dengan cara menggunakannya untuk sesuatu yang berfaedah dan bermanfaat bukannya untuk perkara yang sia-sia dan dilarang syarak.

Sebenarnya kehidupan manusia ini semuanya adalah amanah Allah yang sepatutnya dijaga dengan sebaiknya terhindar dari kebinasaan. Firman Allah dalam surah Al-Isra’ ayat 36 bermaksud:
“sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya”.

Oleh itu, dalam bulan yang penuh keberkatan ini, marilah kita sama-sama membersihkan jiwa dari sifat-sifat yang keji (mazmumah) dan hiasilah jiwa kita dengan sifat yang terpuji (mahmudah). Seterusnya kita berusaha untuk mengerjakan segala perintahnya dan meninggalkan segala larangannya.

0 komentar:

Posting Komentar

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Renungkanlah : Betapa Bodohnya Kita Jalani Hidup Ini, Jika SMS Masuk Kita Cepat baca Dan Balas, Kenapa Pada Waktu Masuk Sholat Kita Tidak Cepat Laksanakan, Isi Ulang Pulsa Rp.5000-100.000 Kita Sanggup, Tapi Kenapa Sedekah Rp.100-10.000 Terasa Berat, Waktu Mandi Macam2 Lagu Dinyanyikan, Tapi Kenapa Waktu Makan Bismilahpun Kita Lupa, Bila Pulsa Habis Susah Payah Kita Tebus, Kenapa Kita Tidak Tebus Dosa-Dosa Yg Telah Kita Lakukan ?

Gabung yuk di Facebook

Template by:
Free Blog Templates