Kelahiran Rasullullah

Oleh Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Nabi Muhammad s.a.w. dibangkitkan adalah di atas perutusan yang amat murni, iaitu mengajak seluruh manusia dan jin supaya mengenal, mengakui dan akhirnya mengabdikan diri ke hadrat Allah s.w.t. berlandaskan syariat yang diturunkan oleh-Nya selaku Tuhan pencipta alam ini. Ini adalah perutusan di antara manusia dengan Tuhan mereka.

Firman Allah s.w.t. Maksudnya: Wahai Tuhan Kami! Utuslah kepada mereka seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat (firman-Mu) dan mengajarkan mereka isi kandungan Kitab (al-Quran) serta Hikmat kebijaksanaan dan membersihkan (hati dan jiwa) mereka (dari syirik dan maksiat). Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Firman Allah: “Wahai Tuhan Kami! Utuslah kepada mereka seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri. Inilah hasil doa kedua-duanya yang berkat Allah mustajabkan doa dengan dibangkitkan Muhamad s.a.w. seperti sabdanya: Aku adalah doa ayahku Ibrahim, berita gembira Isa dan mimpi ibuku. (Riwayat Ahmad, al-Bazzar dan Ibn Hibban). Al-Tabari berkata: Pendapat kami ini sama seperti kebanyakan ahli tafsir.

Yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat (firmanMu) dengan membaca ayat-ayat al-Quran dan mengajarkan mereka isi kandungan Kitab (al-Quran) serta Hikmat kebijaksanaan. Yang dimaksudkan dengan al-kitab ialah al-Quran sedangkan hikmah dengan al-Sunah. Inilah pendapat Ibn Abbas. Diriwayatkan daripadanya juga hikmah dengan maksud ilmu fiqh, halal, haram dan segala peringatan al-Quran. Dinamakan hikmah itu hikmah kerana ia menegah daripada kejahilan. Syeikh Sya'rawi berkata: Wajib kita mengetahui bahawa terdapat perbezaan antara membaca ayat dan mengajar. Membaca iaitu kamu membaca al-Quran sedangkan mengajar iaitu kamu mengetahui maknanya dan apa yang datang dengannya untuk kamu tatbiqnya dan kamu mengetahui dari mana datang. Dan jika kitab dengan maksud al-Quran manakala hikmah dengan maksud hadis Rasulullah s.a.w.

Petunjuk

Syeikh al-Maraghi berkata: Dia mengajarkan mereka al-Quran, segala sir syariat dan maksudnya dengan sirahnya antara kalangan Muslim, maka ia menjadi petunjuk dan contoh bagi mereka pada ucapan dan perbuatannya.

Dan membersihkan (hati dan jiwa) mereka (dari syirik dan maksiat). Terdapat tiga pandangan ulama:

1. Menyucikan mereka dari segala noda syirik, kekufuran dan maksiat. Inilah pendapat Muqatil.
2. Diambil zakat daripada mereka untuk menyucikan mereka dengannya. Inilah pendapat Ibn Abbas dan al-Farra'.
3. Rasul menyeru mereka kearah menjadikan suci.

Syeikh Sya'rawi berpendapat: Rasul mensucikan mereka dan memimpin mereka ke jalan kebaikan dan kesempurnaan iman.

Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. Engkaulah sahaja yang bersifat Maha Perkasa yang tidak mungkin dikalahkan, Maha Bijaksana yang tidak melakukan sesuatu kecuali dengan penuh hikmah dan maslahah. Sebagai memperkenankan doa Ibrahim a.s dan Ismail, Allah telah membangkitkan Nabi yang mulia ini (Muhammad) setelah dilalui sekian abad yang lama. Itulah kebangkitan Rasul dan zuriat Ibrahim dan Ismail yang membaca kepada mereka ayat-ayat Allah, mengajar kepada mereka kitab suci dan hikmat, dan membersihkan mereka dari kekotoran dosa. Doa yang makbul itu tetap dimakbulkan tetapi ia disempurnakan pada masanya yang wajar yang ditentukan Allah mengikut hikmat kebijaksanaannya. Tetapi manusia selalu gopoh dan menuntut disegerakan dan orang-orang yang belum mempunyai hubungan yang rapat dengan Allah selalu (dilanda) perasaan jemu dan putus asa.

Kedua-dua kenyataan ini menjelaskan bahawa umat Islam adalah pewaris-pewaris kepimpinan Ibrahim dan pewaris-pewaris Baitullah al-Haram yang sebenar. Dan jelaslah kini bahawa rumah Baitullah itu adalah rumah umat Islam selaku kiblat yang dihadapi mereka, dan mereka adalah lebih berhak dari kaum musyrikin. Baitullah itu adalah kiblat yang lebih sesuai dengan mereka dari menjadi kiblat kaum Yahudi dan kaum Nasara.

Sejarah Kelahiran Rasulullah s.a.w.

Mengikut pengarang buku Ketinggian Risalah Nabi Muhammad s.a.w. bahawa yang menyambut Nabi bukan Siti Syifa’ tetapi Ummu Aiman, hamba ibu Nabi. Dan dialah yang mengasuh dan merawat Nabi pada hari-hari awal kelahiran baginda.

Saat itu ialah malam Isnin 12 Rabiulawal bertepatan dengan tahun 570 Masihi, maka dengan kehendak Allah yang telah pun mengatur segala-galanya peristiwa di alam ini lahirlah seorang bayi lelaki yang amat elok rupanya dan sihat badannya. Siti Syifa’ selaku bidan terus menyambut bayi yang comel dan sihat itu lalu dibersihkan badan Nabi dengan membasuhnya dengan air. Kemudian dibalutnya dengan kain putih yang bersih.

Pada saat Nabi dilahirkan itu berlaku banyak perkara yang tidak pernah diduga oleh akal manusia. Keajaiban itu terjadi di seluruh alam. Dari depan mata Siti Syifa’ hinggalah tepi dunia dan juga ke lapisan langit yang ketujuh.

Peristiwa yang pelik dan aneh yang disaksikan oleh ibu Abd. al-Rahman bin Auf itu ialah tentang kenapa anak sulung Siti Aminah binti Wahab isteri kepada Abdullah bin Abd. al-Muttalib ini tidak menangis sebaik sahaja keluar dari perut ibunya? Sedangkan belum pernah terjadi dalam sejarah peradaban manusia bahawa bayi yang baru keluar dari perut ibunya tidak menangis! Ini adalah satu petanda yang agung pada pendapat bidan yang merawati Siti Aminah itu ketika melahirkan bayi sulungnya yang cantik bersih itu.

Nabi ketika dilahirkan tidak menangis seperti kanak-kanak biasa. Tetapi baginda telah bersin. Inilah yang anehnya. Samalah dengan yang telah terjadi kepada bapa kita, Nabi Adam a.s ketika beliau mula-mula dimasukkan ruh oleh Allah ke dalam badannya. Setelah hidup dan bernafas, tiba-tiba beliau bersin.

Suasana di rumah Abd al-Muttalib ketika Siti Aminah mahu melahirkan anak sulungnya itu hanya diterangi oleh cahaya pelita atau damar sahaja. Namun sejurus Nabi dilahirkan, tiba-tiba rumah itu menjadi terang benderang seperti disuluh oleh cahaya lampu elektrik seperti yang dapat kita lihat pada zaman sekarang ini sehingga dalam rumah Abdullah itu keadaannya menjadi seperti waktu siang. Seolah-olah ada lampu besar yang menyinari ruang bilik tempat Siti Aminah sedang melahirkan Nabi itu. Ini sesungguhnya adalah sesuatu yang amat aneh.

Di luar rumah Abdullah pula, berhala-berhala yang berdiri megah di sekeliling Kaabah semua tumbang seperti ditolak oleh suatu tenaga yang kuat dari arah Kaabah.

Peristiwa aneh dan luar biasa yang berlaku di tempat yang jauh pula ialah api di Parsi yang menjadi pujian rakyat Parsi yang beragama Majusi yang sejak dinyalakan tidak pernah padam-padam itu tiba-tiba sahaja padam. Istana Maharaja Parsi, Kisra pula bergoncang.

Di langit pula, para malaikat sibuk bercakap tentang kelahiran insan agung yang akan membawa obor yang terang benderang untuk menyuluh umat manusia yang sedang bergelumang hidup di dunia kesesatan.

Begitulah beberapa peristiwa yang terjadi ketika Siti Aminah melahirkan putera sulungnya yang tunggal yang bakal menjadi Nabi umat akhir zaman itu.

Iktibar dan pengajaran ayat. Antaranya:

* Memohon dan berdoa kepada Allah untuk kebaikan zuriat dan menjadi soleh. Fikirlah bagaimana Nabi Ibrahim berdoa kemudian selepas ribuan tahun lahirnya Rasulullah s.a.w yang mentahqiqkan segala doa Ibrahim.

* Tugas rasul yang disenaraikan dalam ayat di atas ialah membaca kitab Allah, mengajar kitab-Nya, mengajar hikmah dan ilmu dan menyucikan daripada noda maksiat dan dosa.

* Betapa pentingnya menuntut dan mempelajari ilmu apatah lagi yang boleh membimbing keselamatan di dua negeri dunia dan akhirat. Ilmu yang bermanfaat sudah pasti dapat menyelamatkan tuannya dari terseret ke lembah kehinaan dan kejahilan.

* Mengkaji dan mempelajari sirah Rasulullah s.a.w. amat penting apatah lagi suasana masa kini musuh-musuh Islam melabelkan Rasulullah s.a.w. dengan pelbagai label dan gambaran yang amat keji.

0 komentar:

Posting Komentar

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Renungkanlah : Betapa Bodohnya Kita Jalani Hidup Ini, Jika SMS Masuk Kita Cepat baca Dan Balas, Kenapa Pada Waktu Masuk Sholat Kita Tidak Cepat Laksanakan, Isi Ulang Pulsa Rp.5000-100.000 Kita Sanggup, Tapi Kenapa Sedekah Rp.100-10.000 Terasa Berat, Waktu Mandi Macam2 Lagu Dinyanyikan, Tapi Kenapa Waktu Makan Bismilahpun Kita Lupa, Bila Pulsa Habis Susah Payah Kita Tebus, Kenapa Kita Tidak Tebus Dosa-Dosa Yg Telah Kita Lakukan ?

Gabung yuk di Facebook

Template by:
Free Blog Templates