English French German Spain Italian Dutch Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified

Peribadi Muhammad S.A.W Teladan Ummah Sejagat


Oleh Mohd Shukri Hanapi
Ulangtahun kelahiran Nabi Muhammad SAW diraikan penuh penghormatan dan penghayatan dengan mengadakan pelbagai acara keagamaan di seluruh negara seperti ceramah agama, nasyid, berselawat, berzanji, meraikan golongan fakir dan miskin.
Walaupun kelahiran Baginda SAW pada 12 Rabiulawal, sambutan yang dibuat bukan pada hari itu saja, sebaliknya diadakan mulai awal bulan hingga kadangkala berlarutan ke Rabiulakhir.

Semua ini adalah sebagai tanda kasih umat Islam terhadap pemimpin agung yang menjadi manusia istimewa pilihan Allah. Kelahiran Nabi Muhammad SAW sebagai pemimpin agung adalah rahmat bagi sekalian alam.

Malahan ia adalah berita besar dalam sejarah kemanusiaan. Ia diibaratkan sebagai fajar yang menyinsing terhadap manusia. Kelahiran Rasulullah SAW mengubah kehidupan umat manusia di dunia daripada masyarakat yang dulunya kufur bertukar menjadi taat dan mentauhidkan Allah.
Jelaslah kelahiran Baginda SAW benar-benar membawa perubahan besar dalam pelbagai aspek kehidupan manusia. Itulah rahmat dan nikmat daripada Allah mengutus junjungan besar Nabi Muhammad SAW ke muka bumi ini.

Allah berfirman yang bermaksud, "Dan tiada Kami mengutus engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi seluruh alam." (Surah al-Anbiya', ayat 107)

Perjuangan Rasulullah SAW menyebarkan dakwah Islam penuh dengan peristiwa pahit dan getir. Baginda menempuh pelbagai ancaman dan halangan; menghadapi bermacam kesengsaraan, penderitaan dan penindasan.

Namun begitu, Baginda tetap tabah, sabar dan tidak putus asa menjalankan perintah serta amanah Allah. Akhirnya Baginda berjaya menegakkan kebenaran di muka bumi ini. Lihatlah betapa besarnya pengorbanan Rasulullah SAW dalam menghadapi kekufuran dan kezaliman musuh Islam.
Sebagai umat Islam yang cinta dan kasih terhadap Rasulullah SAW, sepatutnya kita mengenang kembali jasa dan pengorbanan Baginda dengan mengadakan program keagamaan pada bulan yang mulia ini.

Program keagamaan yang diadakan jangan dilihat pada zahirnya saja, tetapi hendaklah dihayati dan diamalkan ajaran yang terkandung di dalamnya. Inilah tekad umat Islam mengukuhkan ingatan dan kasih sayang terhadap Rasulullah SAW yang banyak menabur jasa bakti kepada umat Islam, tamadun dan peradaban manusia seluruhnya.

Rasulullah SAW adalah manusia pilihan dan paling istimewa. Oleh itu, Allah memperlengkapkan Baginda dengan budi pekerti mulia. Peribadi baginda benar-benar luhur, manakala jiwa dan hatinya pula suci bersih.

Dengan memiliki keperibadian unggul Baginda berjaya melaksanakan segala tugas dan tanggungjawab diamanahkan Allah kepadanya.

Keunggulan keperibadian Baginda SAW dijelaskan dalam firman Allah yang bermaksud: "Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah selalu (dalam masa susah dan senang)." (Surah al-Ahzab, ayat 21)

Kehidupan Nabi Muhammad SAW mengandungi pengajaran dan contoh teladan yang baik. Jika diikuti, maka kehidupan manusia seluruhnya akan mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Banyak contoh ditunjukkan Rasulullah SAW dalam mentaati dan beriman kepada Allah merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia seperti ibadah, muamalat, politik, hubungan kemasyarakatan dan akhlak. Baginda juga pemimpin agama, negara, suami, bapa, pendidik, pendakwah dan pejuang.

Kejayaan Rasulullah SAW yang paling ketara apabila Baginda berjaya mengubah jiwa manusia daripada sifat kebatilan kepada kebenaran; kezaliman kepada keadilan dan kemunduran kepada kemajuan.

Hasilnya, lahirlah manusia yang bertakwa kepada Allah dan cintakan kebaikan. Contohnya, Saidina Umar al-Khattab yang pada mulanya seorang yang memusuhi Islam menjadi komited dengan ajaran Islam, berperibadi mulia dan dihormati.

Begitulah juga Bilal bin Abi Rabah, seorang sahabat yang tabah dan sabar menghadapi penderitaan akibat penyeksaan musuh Islam demi menegakkan agama Islam.

Sempena bulan mulia ini, umat Islam diseru supaya sentiasa bertakwa kepada Allah dan mengingati sejarah pengorbanan Rasulullah SAW dalam menegakkan agama Islam dengan membanyakkan selawat kepadanya.

0 komentar:

Posting Komentar

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Renungkanlah : Betapa Bodohnya Kita Jalani Hidup Ini, Jika SMS Masuk Kita Cepat baca Dan Balas, Kenapa Pada Waktu Masuk Sholat Kita Tidak Cepat Laksanakan, Isi Ulang Pulsa Rp.5000-100.000 Kita Sanggup, Tapi Kenapa Sedekah Rp.100-10.000 Terasa Berat, Waktu Mandi Macam2 Lagu Dinyanyikan, Tapi Kenapa Waktu Makan Bismilahpun Kita Lupa, Bila Pulsa Habis Susah Payah Kita Tebus, Kenapa Kita Tidak Tebus Dosa-Dosa Yg Telah Kita Lakukan ?

Gabung yuk di Facebook

Template by:
Free Blog Templates